Peristiwa Sanggau Ledo , Konflik Etnik di Barat Kalimantan: Dayak vs Madura dan kesan Program transmigrasi Madura ke Kalimantan.

Portal Blog yang mengupas, mengulas dan mengkritik serta berkongsi isu semasa yang Tidak anda ketahui dari Sabah dan Sarawak. Kongsikan pendapat atau apa jua Isu dengan Pembaca disini. ❂ admin@pengerindu.com ❂
"Terbaek. Pengetahuan yg luas dan sungguh menghiburkan para pembaca lagipun dgn brita terkini yg tepat dan padat. " - Jesrim Akok ✌ "macam macam ada..utk di kongsi bersama...nang best juak..teruskan usaha murni anda mr J. " - Habsah Mo C D ✌ "1borneo ba..sporting.. " - Dekmon Alan ✌ "macam2 ada..best!! terbaikkk!!! " - Anastasia Julie Lobert
Di setiap negara di dunia, kepelbagaian etnik, kestabilan sosia dan politik antara masyarakat dan perpaduan di antara rakyat merupakan antara cabaran yang nyata dan harus dihadapi. 

Hal ini jelas jika dilihat pada sebuah negara yang baru sahaja memperolehi status sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Di kebanyakkan Negara, masalah mengenai perbezaan etnik dalam sesebuah Negara dilihat sebagai satu isu yang sangat serius dan tidak boleh dipandang remeh. jika isu tiada inisiatif yang diambil bagi mengekang aura negatif yang terhasil daripada perbezaan tersebut, maka perbezaan tersebut dapat menimbulkan kekacauan dan huru-hara di dalam Negara.

Di Asia Tenggara, terdapat beberapa rusuhan etnik atau kaum yang seringkali berlaku dalam kalangan kaum yang memeganag status sebagai majoriti dalam sesebuah negara. Perang etnik di antara etnik Dayak dan Madura yang melibatkan hampir kesemua daerah di bahagian barat Kalimantan telah membuka mata masyarakat di sekitarnya bahawa betapa teruknya isu perbezaan etnik ini boleh berlaku. 


Masyarakat di bahagian barat Kalimantan telah menamakan perang ini sebagai perang Dayak-Madura yang mana berlaku di sekitar pertengahan 1990an. Namun begitu, perang ini bukanlah kali pertama yang melibatkan kekejaman malahan telah berlaku sejak wujudnya program Transmigrasi. Program Transmigrasi ini bermula pada tahun 1970, diperkenalkan oleh Presiden Suharto, pemerintah tertinggi Indonesia pada ketika itu.

Program Transmigrasi merupakan satu program yang diwujudkan untuk menyelesaikan masalah populasi penduduk di Pulau Jawa yang terlalu ramai dan padat pada awal tahun 1970an. Pada masa yang sama, projek ini diperkenalkan oleh Presiden Suharto juga bertujuan untuk memberikankan peluang kepada ramai penduduk di pulau Jawa untuk mendapatkan pekerjaan wilayah-wilayah yang lain di dalam Indonesia. Di samping itu, masalah kemiskinan yang dihadapi oleh penduduk di Pulau Jawa juga akan dapat diatasi jika mereka dipindahkan ke wilayah yang lain yang mana peluang untuk memperbaiki kehidupan adalah lebih baik.

Namun begitu, kerajaan tidak mampu mengawal arus penghijrahan etnik Madura ke Kalimantan yang mana orang-orang Madura terus berpindah ke barat Kalimantan yang mana penghijrahan tersebut bukan lagi di bawah tujuan program kerajaan iaitu Program Transmigrasi (Peluso, 2006: 112). Jumlah etnik Madura yang berpindah ke barat Kalimantan menjadi semakin ramai sehinggakan menggugat aktiviti-aktiviti utama orang asal di kawasan tersebut iaitu orang Dayak. Etnik Madura juga terkenal dengan perwatakan mereka yang kasar dan ganas.

Hal ini menyebabkan etnik Dayak yang terdiri daripada Iban, Kayan, Murut, Punan dan Ngaju tidak mampu bersaing dengan orang Madura dari segi kegiatan ekonominya. Dari segi politiknya pula, orang Dayak tidak diendahkan oleh kerajaan di mana tidak ada di antara mereka memegang jawatan yang penting dalam organisasi kerajaan sama ada di peringkat wilayah mahupun negara.

Etnik Dayak pada ketika itu berada dalam tekanan di mana mereka adalah kaum majoriti yang mempunyai suara yang minoriti bagi kerajaan. Tanah yang mereka miliki sejak turun-temurun pula telah dirampas oleh orang Madura selain digunakan oleh pihak kerajaan bagi memenuhi keperluan di bawah program Transmigrasi oleh Presiden Suharto. Orang Dayak secara keseluruhannya telah di-alienated oleh kerajaan dan terpinggir jauh dari arus pembangunan yang telah dibawakan oleh kerajaan Indonesia.

Schiller dan Garang (2002) secara ringkasnya menerangkan perwatakan orang Dayak merupakan etnik yang bukan mengamalkan gaya hidup yang kasar dan ganas dalam kehidupan seharian mereka. 

Semasa perang Dayak-Madura tersebut berlaku, mereka dikatakan berada di bawah rasukan atau dipengaruhi oleh sejenis makhluk halus atau roh yang dipanggil untuk membantu mereka ketika turun berperang. Roh tersebut dipanggil sebagai “Kamang Tariu” oleh masyarakat Dayak.

Ketika di bawah pengaruh roh tersebut, mereka akan diselubungi oleh kuasa mistik yang dipanggil “pajakogn” yang menyebabkan mereka (orang Dayak) menjadi begitu ganas dan kejam. Sebelum turun berperang, satu upacara “Mangkok Merah” akan diadakan terlebih dahulu yang mana terdapat dua perbezaan.

Mangkuk yang mengandung arang bermaksud untuk membakar rumah musuh mereka manakala mangkuk yang mengandungi bulu ayam, bermaksud untuk membunuh musuh tanpa mengira wanita ataupun kanak-kanak. 

Setelah perang berakhir, maka upacara untuk mengeluarkan semula “Kamang Tariu” harus diadakan bagi menyeru semula jiwa atau roh asal pahlawan Dayak (dipetik dari Klinken, 2007: 53).Kepercayaan mereka itu, dikatakan telah membawa kepada penyatuan mereka dalam mengatasi permasalahan yang timbul di antara mereka (orang Dayak) dengan orang Madura.

Keadaan ini dapat dilihat melalui bagaimana cepatnya orang Dayak berkumpul (mobilised) dengan begitu teratur di sebahagian besar kawasan dengan keadaan perhubungan jalan dan komunikasi yang sangat terhad pada Januari dan Febuari 1997. Menurut Parry (2005: 36) pula, tindakan ini didorong oleh “powerlessness” yang mana selama ini masyarakat Dayak telah dipinggirkan oleh kerajaan Indonesia.

Mereka terpaksa melakukan keganasan sebagai jalan terakhir (last resort) bagi menunjukkan perasaan dan kekecewaan mereka terhadap hak mereka sebagai masyarakat peribumi ditindas. Sementara Davidson (2003: 281) pula menyatakan penyatuan masyarakat Dayak dipicu oleh gabungan pelbagai perbalahan atau isu yang terjadi di antara dua buah kumpulan etnik tersebut.

Namun begitu, ada tiga etika yang harus dipatuhi oleh setiap pahlawan yang mengikuti perang Dayak-Madura pada ketika itu. Pertama, mereka tidak boleh menyerang rumah-rumah ibadat seperti masjid.

Hal ini disebabkan jika mereka memusnahkan masjid, maka perang bermaksud bahawa orang Kristian lawan orang Islam bukan lagi bermaksud orang Dayak lawan Madura yang bertujuan untuk menghalau orang-orang Madura keluar dari Kalimantan.

Etika yang kedua pula ialah dilarang untuk membakar dan memusnahkan harta benda dan bangunan yang merupakan kerajaan. Jika mereka berbuat demikian, maka mereka merupakan golongan yang menentang kerajaan di mana bagi mereka, pihak kerajaan adalah mustahil untuk dikalahkan.

Ketiga, mereka tidak dibenarkan sama sekali mencuri atau mengambil harta benda orang-orang Madura yang mereka bunuh. Harta-harta tersebut harus turut dibakar sekali (Parry, 2005: 32).

Konflik antara dua etnik ini berlanjutan selama beberapa tahun melibatkan beberapa pertempuran yang besar dan kejam pada tahun 1997, 1999 dan 2001. Walaupun program Transmigrasi melibatkan pemindahan penduduk dari pelbagai etnik dari Pulau Jawa, dan bukan hanya masyarakat Madura sahaja yang berpindah ke Kalimantan, namun begitu, hanya kumpulan masyarakat Madura sahaja yang ditemui terkorban. Pertempuran itu melibatkan kematian seramai 600 orang pada tahun 1997 hingga 1999 dan seramai 500 orang pada 2001 ( Perang Sampit )

Sebahagian besar daripada jumlah tersebut merupakan orang Madura. Perang etnik tersebut juga melibatkan seramai 25, 000 orang dari etnik Madura dipindahkan dari rumah mereka yang didiami sejak 30 tahun dahulu di bawah program Transmigrasi kerajaan sejak pertempuran antara dua kumpulan etnik tersebut berlaku (Peluso, 2006: 112). Namun begitu, statistik ini ada bercanggah dengan statitik yang diprolehi oleh Parry (2005: 34) yang merupakan seorang jurnalis yang datang ke Kalimantan ketika konflik tersebut berlaku pada tahun 1997. Ketika temu ramahnya dengan Father Kristof, beliau mendapat bahawa dalam lingkungan 4000 orang masyarakat Madura terbunuh dalam pertempuran sementara seramai 200 orang dari masyarakat Dayak terbunuh.

Kalimantan Barat merupakan wilayah Indonesia yang kaya dengan pelbagai sumber tetapi terpinggir dari segi geografi dan politiknya, yang mana telah menikmati hubungan yang stabil di antara kelompok etnik yang berbeza, cara hidup dan perbezaan agama yang melibatkan etnik Melayu, Dayak dan Cina (Loveband dan Young, 2006: 149). Namun begitu sejak kedatangan etnik Madura di barat Kalimantan, beberapa siri pembunuhan dan kekejaman dapat disaksikan di mana jarang sekali mangsa mampu selamat daripada amukan orang Madura.

Terdapat beberapa faktor yang menimbulkan rasa tidak puas hati orang asal iaitu orang Dayak terhadap kaum pendatang, Madura. Pertama sekali adalah dari segi ekonomi yang mana setelah kedatangan orang Madura di Kalimantan, aktiviti-aktiviti ekonominya telah dikuasai oleh mereka. Program Transmigrasi telah banyak mempengaruhi kehidaupan masyarakat Dayak. Mereka terpaksa bersaing dengan masyarakat Madura dalam perkembangan dan pembangunan baru yang dibawakan oleh program tersebut yang melihat masyarakat Madura tidak mempunyai masalah dalam menyesuaikan diri di tempat baru. Hal ini secara tidak langsung telah menyebabkan masyarakat Dayak semakin hilang kuasa mereka sebagai penentu keadaan ekonomi di Kalimantan ketika itu.

Pada masa yang sama, masyarakat Dayak terpaksa berhadapan dengan sistem pilih kasih yang diamalkan oleh masyarakat Madura di mana amat sukar bagi masyarakat Dayak yang tidak mempunyai hubungan baik dengan masyarakat Madura lebih-lebih lagi kebanyakkan orang atasan di wilayah Kalimantan pada ketika dikuasai oleh orang bukan Dayak.

Konflik di antara dua etnik ini juga dipicu oleh isu perebutan tanah di mana sebahagian besar tanah di Kalimantan telah dikuasai oleh masyarakat Dayak sejak turun termurun lagi. Sejak kedatangan masyarakat Madura di barat Kalimantan, mereka meminjam tanah masyarakat Dayak sebagai modal untuk mereka memulakan kehiduapan di tempat baru. Tanah yang dipinjamkan itu merupakan bekas kawasan yang digunakan oleh masyarakat Dayak untuk berkebun dan bersawah.

Oleh kerana masyarakat Dayak menjalankan kegiatan pertanian secara berpindah-pindah di samping memiliki kawasan tanah yang sangat luas untuk sebuah keluarga maka untuk satu tempoh yang agak lama, mereka kembali untuk menuntut semula tanah yang telah dipinjamkan tersebut. Namun begitu, tuntutan terhadap tanah yang mereka miliki itu dipertikaikan oleh masyarakat Madura yang meminjam walaupun masyarakat Dayak mempunyai dokumen yang lengkap bahawa tanah itu adalah milik mereka. Malahan, hak mereka untuk mencari rezeki di tanah adat mereka sendiri juga terbatas.

Perbezaan budaya dan amalan yang diamalkan oleh kedua-dua etnik, Dayak dan Madura diumpamakan sebagai penambah perasa yang memburukkan lagi keadaan di bahagian barat Kalimantan itu. Stereotype mengenai masyarakat Madura terkenal dengan perwatakan ganas, suka mencuri dan sering membawa “clurit” sejenis senjata tajam seakan-akan sabit tidak menyenangkan masyarakat Dayak, begitu juga dengan amalam masyarakat Dayak yang memelihara dan memakan khinzir di samping memelihara anjing turut tidak disenangi oleh masyarakat Madura.

Perbezaan inilah yang membawa kepada timbulnya rasa kebencian di antara satu sama lain. Layanan pihak autoriti juga menjadi pemangkin kepada beberapa pertempuran di antara dua etnik itu. Pembunuhan orang Dayak oleh orang Madura melihat si pembunuh hanya dilepaskan begitu sahaja oleh pihak polis menyebabkan masyarakat Dayak tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut.

Peristiwa Sanggau Ledo merupakan satu kejadian yang menjadi titik tolak kepada terjadinya pertempuran yang melibatkan kedua-dua etnik ini. Peristiwa ini bermula dengan sorang gadis Dayak yang diganggu oleh beberapa orang pemuda Madura yang turut bersama-sama mengikuti sebuah konsert di Ledo. Konsert tersebut dianjurkan oleh parti Golkar (Golongan Karyawan) sebagai satu kempen untuk pilihan raya pada May 1997 yang mana perbalahan tersebut berakhir tanpa sebarang kecederaan yang serius (Klinken, 2007:56).

Namun begitu, beberapa bulan selepas itu, pihak yang bergaduh bertemu semula di sebuah konsert yang berasingan di Ledo sehingga menyebabkan pergaduhan yang dikatakan untuk membalas dendam ke atas kejadian di konsert sebelumnya. Dua pemuda Dayak telah ditikam namun tidak meragut nyawa mereka.
Khabar angin yang mengatakan mereka terbunuh menyebabkan beberapa masyarakat Dayak berkumpul di balai polis dan menuntut agar pesalah diserahkan.

Namun begitu, pihak polis menolak kenyataan bahawa mereka ada melakukan penahanan walaupun sebenarnya mereka ada menahan pelakunya kerana mereka bimbang dengan tindak balas yang akan dilakukan oleh masyarakat Dayak terhadap pelaku tersebut. Tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan, masyarakat Dayak mula menimbulkan huru-hara dengan membakar rumah, kedai dan kebun masyarakat Madura. Jumlah kerugian akibat kemusnahan tersebut dianggarkan dalam US$6 juta di Ledo sahaja. Beberapa minggu selepas itu,seramai 6,000 orang masyarakat Madura dipindahkan ke pos polis dan tentera di bandar Singkawang.

Walaupun banyak lagi peristaiwa yang melibatkan pembunuhan orang Dayak oleh orang Madura sebelumnya namun, peristiwa Sanggau Ledo menjadi satu batu loncatan bagi masyarakat Dayak yang selama ini begitu membenci masyarakat Madura untuk menghalau mereka keluar dari Kalimantan yang dikatakan tidak menghormati hak-hak orang asal. Pada 28 Januari 1997, masyarakat Madura bertindak balas dengan membakar pejabat NGO Katolik di Pontianak dan terus mengganas di Singkawang di mana ramai lagi orang Dayak diserang dan dibunuh.

Pada 2 Febuari, masyarakat Dayak mula bertindak seperti yang diterangkan oleh Peluso (2006: 111);
“Melihat kerajaan seperti tidak berniat untuk menghentikan kekecohan dan kekejaman yang dilakukan oleh masyarakat Madura, masyarakat Dayak telah mengadakan upacara Mangkok Merah. Mangkuk tersebut telah diberikan dari satu kampung ke satu kampung sebagai satu simbolik untuk memanggil kesemua orang Dayak untuk turun berperang. 

Tidak dapat dipastikan bahawa siapa yang sebenarnya menjadi orang yang bertanggungjawab dalam memulakan ritual ini. Ritual ini diamalkan oleh puak Kanayatn dan Salako Dayak sebagai upacara panggillan perang jika kestabilan komuniti terancam. Masyarakat Dayak dari pelbagai daerah seperti Sambas, Pontianak dan Sanggau mula berkumpul dan berarak ke bukit berdekatan untuk menjalankan upacara tersebut (Kamang Tariu).”

Hal ini membuktikan bahawa betapa cepatnya sesebuah masyarakat etnik itu bersatu jika hak mereka sebagai komuniti dalam sesebuah negara itu terancam. Secara tidak langsung, ritual mangkok merah menjadi satu simbol penyatuan bagi masyarakat Dayak di seluruh bahagian di barat Kalimantan.

Jika dilihat dengan lebih terperinci, perbezaan budaya dan amalan bukanlah penyebab utama wujudnya kebencian terhadap sesebuah kumpulan etnik. Masalah utama di sini adalah dasar kerajaan yang kurang menitik beratkan kestabilan dan pengukuhan penyatuan dalam kalangan rakyatnya sendiri. Orde Baru (New Order) yang dilancarkan oleh Presiden Suharto beberapa dekad yang lepas telah membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan kepada rakyatnya sendiri. 

Program transmigrasi yang sepatutnya dikawal jumlahnya di setiap wilayah telah meninggalkan kesan terhadap orang tempatan sendiri. Orang tempatan terpaksa mengalah dengan kaum pendatang yang semakin lama semakin ramai sehingga menyebabkan mereka didiskriminasi, ditekan dan ditindas.

Aktiviti pembangunan yang dilancarkan oleh kerajaan Indonesia jelas sekali tidak mengendahkan suara-suara kecil kaum Dayak tersebut di mana mereka sendiri tidak dapat merasai nikmat pembangunan yang sepatutnya dinikmati oleh semua orang dengan sama rata tanpa mengira status, kaum dan agama. Masyarakat Dayak sebaliknya menjadi mangsa akibat projek pembangunan yang diperkenalkan di bawah era pemerintahan Presiden Suharto. 

Hak ke atas tanah adat dipertikai, kelangsungan ekonomi disekat oleh kehadiran masyarakat Madura yang tidak putut-putus dari Pulau Jawa, pembalakkan di atas tanah adat, pencemaran sungai jelas sekali telah menyebabkan cara hidup mereka terganggu (Loveband dan Young, 2006: 149-150).

Konflik ini jika dikaji secara terperinci, konflik antara dua buah kumpulan etnik ini adalah berpunca daripada kegagalan polisi yang diwujudkan di bawah Orde Baru. Peristiwa ini adalah signifikan kepada hubungan kelemahan sistem birokrasi negara dan golongan terpelajar negara yang tidak mengambil kira secara serius identiti etnik tempatan serta keperluan mereka dari segi politik, hak dan ekonomi mereka dengan teliti dan serius.

Perang Meletus lagi pada 2001 iaitu Perang Sampit.

Artikel dikirim oleh TN Zent @ Tony ke info@pengerindu.com


 | music menarikmakanan terbaikku facebook | twitter | sarawak | sabahliputan media
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 SABAHSARAWAK
Bila Mr J Menaip
 ARTIKEL KIRIMAN EMEL PEMBACA ► Sila Hantar ke admin@pengerindu.com
+PENDAPAT  +KOMEN WWW.PENGERINDU.COM► server ↑ 97%  
Stastitik

PENGERINDU.COM. Dikuasakan oleh Blogger.
 
Copyright © 2009 - 2015 www.pengeRindu.com - Bukan Sekadar Weblog Biasa | Voice of The People Sabah / Sarawak | Rise of DAYAK- All Rights Reserved ©