KAMI BUKAN WARGA CAWAT

Portal Blog yang mengupas, mengulas dan mengkritik serta berkongsi isu semasa yang Tidak anda ketahui dari Sabah dan Sarawak. Kongsikan pendapat atau apa jua Isu dengan Pembaca disini. ❂ admin@pengerindu.com ❂
Bukan Sekadar Weblog Biasa - Sejak 2009 "Terbaek. Pengetahuan yg luas dan sungguh menghiburkan para pembaca lagipun dgn brita terkini yg tepat dan padat. " - Jesrim Akok ✌ "macam macam ada..utk di kongsi bersama...nang best juak..teruskan usaha murni anda mr J. " - Habsah Mo C D ✌ "1borneo ba..sporting.. " - Dekmon Alan ✌ "macam2 ada..best!! terbaikkk!!! " - Anastasia Julie Lobert
KAMI BUKAN WARGA CAWAT

Dikarang oleh:
Jaya Ramba Wulan
jayaramba@yahoo.com

Lambungan benak beriak garang. Kocakan air sesekali melambung tinggi menandakan sungai Batang Lupar tersingung. Angin sentiasa bertiup deras, sederas air yang sedang mengalir. Sesekali warga dalam sungai Batang Lupar menampakkan diri. Pepohonan di kiri kanan sungai juga kelihatan bergerak bagaikan digoncang mahkluk asing.

Satu perhimpunan di bandar kecil Sri Aman masih hangat. Di kedai-kedai kopi semua berbicara akan masalah warga cawat dan bangsa mereka. Di pejabat-pejabat kerajaan juga sibuk akan hal itu sehingga randau dilanjut ke pejabat. Mesyuarat tergempar turut dibawa ke pusat pemerintah negeri. Namun, kemarahan warga bumi ini menyala-nyala. Api marah mereka merebak ke serata bumi bernama Malaya Pada.

Aku sempat menatap seketika surat khabar sekali lagi. Aku seratus peratus memahami isinya. Lalu, mataku merenung ke arah keramaian manusia. Salah seorang memanggil. Aku melangkah goyah dalam perasaan yang berkecamuk. Berkali-kali aku berbisik “aku warga cawat?”.


PEGAWAI Waran Satu (Bersara), Kanang Anak Langkau memberi tabik hormat pada potret Rentap di Tugu Pahlawan Kuching.

Sekadar gambar hiasan.


Kasihan datuk nenekku. Kasihan keturunanku dihina penuh benci manusia bernama seorang pemimpin. Aku tahu mereka bangkit walaupun mereka telah mati ke dunia syurga. Aku sedar roh mereka berkeliaran di seluruh bumi Sri Aman hingga ke Batang Ai. Aku tahu Raja Rentap juga sedang memahami hinaan itu dalam keadaan marah. Mungkin sudah tiba waktunya Raja Rentap meniupkan semangat buat generasinya. Biar sang pemimpin berlidah racun itu diadili seperti dia mengadili hambanya Raja Brooke suatu ketika dulu.

“Utuskan warkah ke seluruh bumi. Kita bukan warga cawat seperti yang disangkakan!!” bentak seorang pahlawan muda kepadaku. Aku hanya mengangguk dalam keadaan aku direnung ribuan mata bernyala panas.

Keriuhan semakin mendesak suasana di seluruh bumi Sri Aman. Di khabarkan juga blog-blog, panas dengan isu warga cawat. Laman sesawang juga hebat mengutuk akan isu hinaan yang dilemparkan. Paling terasa, warga Batang Ai sudah menerima tempias bisa kata-kata sang pemimpin bermulut celupar itu.

Sekadar gambar hiasan.

Aku memberikan warkah yang ditulis kepada salah seorang pemimpin perpaduan. Dia merenung wajahku yang berkerut. Beberapa orang menghampiri kami. Kemudian beberapa kumpulan menyusul lagi dengan semangat juang tinggi.
“Bukan kerana nenek moyang kita! Bukan!” Teriak beberapa orang pemuda yang masih kemarahan.

Aku tahu memang budaya sirat adalah pakaian keturunan yang masih digunakan hingga hari ini. Sirat bukan cawat! Memang bukan seluar! Bukan juga baju! Makin bersirat, makin kelihatan segak seperti pahlawan yang tidak mudah ditembusi senjata. Apakah dengan sejarah bersirat kita terus dipandang rendah? Aku menggeleng-geleng kepala apabila disentuh oleh seorang pemuda.

Kita bukan bangsa miskin! Kita bukan bangsa kuno! Kita bukan bangsa tumpul! Bukan pemalas! Bukan bangsa lemah! Kita pemilik sejarah terhebat! Kita manusia terhebat! Kita juga pemimpin terhebat! Kita lebih maju! Kita lebih ke depan! Bukan seperti mereka!!! Bergemuruh suasana dengan kutukan marah ketua perhimpunan. Dia memang seperti seorang pahlawan moden, bertepatan dengan gayanya berkot lengkap.

“Warkah anda lengkap! Anda generasi yang paling idea! Anda berhak memimpin kita!” ujar salah seorang pemuda yang jelas tidak gembira.
Aku hanya mengangguk.

“Semua tulisanmu sudah sampai ke destinasinya. Kita tidak perlu menelanjangkan diri dengan corak sirat keturunan!” ujar seorang tua yang sempat menggaru-garu kepala.
Tiba-tiba satu pengumuman menguasai suasana. Sepi seketika, hanya kelihatan orang ramai bersesak-sesak. Seorang pemuda dengan alat siaraya mengangkat tangan. Terlebih dahulu, air matanya dibiarkan menitis, jatuh membasahi hujung kasutnya.

“Kami bukan kaki kasut! Jangan kerana politik kaum dicaci! Jangan kerana parti, masyarakat berpecah-belah! Jangan kerana politik, budaya dihina! Pisahkan kami dari politik! Pisahkan kami dari dendam politik! Pisahkan kami dari kongkongan politik! Jangan menghina budaya bersirat! Kami bukan warga cawat!!” laungan keramat pemuda itu disambut oleh tepukan gemuruh.

Dadaku berdebar-debar menanti sebentar lagi rombongan dari Batang Ai akan datang. Juga beberapa orang pemimpin rumah panjang akan hadir, dengan suara bantahan. Dengar khabar, mereka akan datang dengan penuh kejutan. Dalam aku berdiri terpinga-pinga, keriuhan tiba-tiba terhenti. Aku memanjangkan pandangan:

Tikar bercorak tradisi dihambarkan. Lalu duduk beberapa orang tua bersirat dan berpakaian tradisi lengkap. Di tengah-tengah mereka, diletakkan alat upacara. Beberapa keping pingan berukiran naga diletakkan di tengah tikar berukiran. Juga, mangkuk khas kegunaan upacara. Dua ekor ayam jantan, ditambat pada satu tiang khas. Lima tokoh yang berwajah serius mula menjalankan tugas masing-masing. Sedangkan para hadirin terus menyaksikan gelagat mereka tanpa sesiapa pun berani bersuara dalam keadaan panas terik.

“Kita akan minta pengadilan dari leluhor! Kita bukan warga cawat yang menghina leluhor! Biar mereka menghukum mangsanya,” ujar seorang tua yang kelihatan ukiran tatu tradisi di segenap tubuhnya. Wajahnya berkedut menandakan dia tidak suka dengan kerjanya dalam usianya yang lanjut.

Pinggan batu berukir itu diserahkan. Diletakkan penuh berhati-hati semua alat yang digunakan. Beberapa ubat-ubatan turut diletakkan di sebuah mangkuk besar. Ketua miring mengambil terlebih dahulu semua kegunaan, dan diikuti oleh empat orang pengikutnya. Botol tapai dituang ke gelas dan diserahkan kepada setiap mereka. Kelima orang ketua adat berpandangan selepas menaburkan rendai ke udara.

“Bunuh ayam!” arah ketua adat.
Seorang pemuda mula memegang ayam jantan itu. Seorang lagi membantunya. Selesai tugas mereka, bulu ayam berdarah diserahkan. Bulu-bulu ayam itu diletakkan di dalam pinggan. Pinggan itu dibawa, diletak di tempat khas.

“Selesai!” ujar ketua adat sambil berdiri. Dia lalu mengarah beberapa orang pemuda membuat kerja mereka. Ketika itu tepukan gemuruh berdansa semula sehingga lubang telinga para hadirin memekak.

“Bakar!” Aku terdengar arahan seseorang. Dalam masa yang singkat, aku melihat asap naik. Aku melangkah dekat. Beratus-ratus bendera parti berwarna hijau berukiran bulan dibakar. Seorang pemuda mengangkat seguni. Seorang lagi mengeluarkannya, lalu dikoyakan mereka secara beramai-ramai. Kemudian, terus dilemparkan ke arah api yang sedang marak.

“Kita bangsa bermaruah! Kita bangsa beradat! Kita bukan bangsa berpolitik! Kita bangsa di bumi kita! Kita benci politik! Kita benci parti!!!” ujar pemuda yang memegang alat siar raya itu.
“Kita mahu sang pemimpin itu tarik balik kata-katanya! Memohon maaf!” ujar pemuda itu lagi.

Aku pula cuba meminggirkan diri dari kesesakan. Namun, seseorang memegang tanganku. Aku tidak berpaling, cuma sempat memandang beberapa orang bangsaku menitis air mata. Aku tahu, mereka kecewa kerana mereka terlalu kecewa. Mereka bangsa bermaruah, bukan bangsa yang ketinggalan. Mereka bencikan berpolitik. Mereka bangsa asalnya keturunan yang beradat. Bangsa kaya budaya! Bangsa yang sudah maju! Aku terus melangkah, mencari keasingan yang tanpa manusia.

“Politik membunuh perpaduan! Politik mencipta perpecahan! Politik penindasan! Politik tidak berbudaya! Parti bintang ialah parti jumud! Parti bintang jalang!!!” Aku melangkah dalam keadaan telingaku masih dilesit kata-kata tegas dari belakang.

“Kami bukan warga cawai!!!” Berkali-kali suara tegas, nyaring itu berkumandang.

 SABAHSARAWAK
Bila Mr J Menaip
 ARTIKEL KIRIMAN EMEL PEMBACA ► Sila Hantar ke admin@pengerindu.com
+PENDAPAT  +KOMEN http://pengerindu86.blogspot.my► server ↑ 97%  
Stastitik

PENGERINDU.COM. Dikuasakan oleh Blogger.
 
Copyright © 2009 - 2015 www.pengeRindu.com - Bukan Sekadar Weblog Biasa | Voice of The People Sabah / Sarawak | Rise of DAYAK- All Rights Reserved ©