SIBU: Seramai 24 penghuni Rumah Dana di Jalan Bukit Penyau, Salim di sini hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran, pagi semalam.
Timbalan Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Sibu Abdul Mutalif Ja’afar berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 8.48 pagi.
Bagaimanapun, katanya, ketika dua jentera pemadam api dan 16 anggota bomba tiba di tempat kejadian, api telah merebak lebih 90 peratus.
“Kita hanya berjaya mengawal kebakaran pada jam 9.10 pagi meskipun terpaksa berdepan tekanan air rendah yang dipam dalam jarak kira-kira 400 meter dari lokasi kejadian,” ujarnya.
Beliau bersyukur kerana tiada kehilangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran itu dan hanya Tuai Rumah Dana dan anak perempuannya mengalami kelecuran.
Kedua-dua mangsa telah dihantar ke klinik untuk mendapatkan rawatan.
Kediaman yang musnah melibatkan empat pintu rumah daripada 12 pintu yang terletak di bawah pentadbiran Tuai Rumah Dana.
Bibi Dana, 40-an, ketika ditemui di tempat kejadian memberitahu, dia mungkin mengalami kerugian paling besar kerana tanaman kulat yang diusahakannya di bawah rumah turut musnah terbakar.
Baca Lagi Berita mengenai Kebakaran Rumah Panjang di Sarawak.Selain Rumah Dana, sejak Ogos hingga semalam, tiga rumah panjang di sini musnah dalam kebakaran iaitu Rumah Franky Bawok (10 pintu) di Rantau Panjang, Rumah Das (40 pintu) di Stapang Oya dan Rumah Nyelayang Jamban (30 pintu) di Batu 28, Nanga Sekuau, Oya
“Saya dan suami saya telah mengeluarkan kos yang besar untuk mengusahakan tanaman kulat ini,” ujarnya.
Seorang lagi penghuni, Cecilia Kebang, 52, berkata dia sedang menjemur pakaian apabila ternampak kepulan asap menyelubungi salah sebuah bilik di situ.
“Saya tidak sempat menyelamatkan harta benda lain kecuali beg tangan sahaja,” katanya.
Seorang anggota bomba, John Muli yang juga penghuni rumah panjang itu berkata, dia berada di bandar ketika mentuanya menghubunginya mengenai kejadian itu.
“Saya bergegas ke Balai Bomba Sentral untuk memaklumkan mengenai kebakaran itu,” katanya.
Namun, apabila bomba tiba di lokasi kejadian, rumahnya sudah musnah dijilat api, tambahnya.
“Tiada sesiapapun berada di rumah kerana anak-anak berada di sekolah ketika itu,” jelasnya yang tidak dapat menyelamatkan sebarang harta benda mereka.
- Mr.J via Borneo Post 29/9/2013
mengenai penulis | music menarik | makanan terbaikku | facebook | twitter | mykeek | sarawak | sabah | liputan media